Bersatu Pecat Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipecat daripada parti itu dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Keputusan berkenaan dibuat hasil mesyuarat Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang semalam, sebelum dimaklumkan secara rasmi menerusi sepucuk surat bertarikh hari ini dan diserahkan kepada Saifuddin.

Dalam surat tersebut, Lembaga Disiplin memutuskan semua hak keahlian beliau dilucutkan mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Parti susulan pelanggaran Fasal 9.1.4.

Surat pemecatan itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

Terdahulu, Saifuddin dipanggil memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin pada November tahun lalu berhubung dakwaan penglibatannya dalam gerakan menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan sesi siasatan berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.

Sebelum itu, pada 27 Oktober 2025, Saifuddin turut digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, manakala Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli disingkirkan daripada jawatan Pengerusi PN Perlis.

Perkembangan terbaharu ini menyusuli tindakan disiplin Bersatu sebelum ini, termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pada pertengahan Oktober lalu.

BBerkaitan

Latest articles