KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semakin panas apabila Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dimaklumkan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dipecat daripada parti berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan Lembaga Disiplin parti memutuskan untuk melucutkan hak-hak keahlian beliau di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU, berkuat kuasa 13 Februari 2026.
Tindakan tersebut diambil selepas beliau didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Dalam kenyataan ringkas itu, MPT memaklumkan bahawa keputusan berkenaan telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin selepas melalui proses pertimbangan sewajarnya.
Perkembangan itu menyusul selepas 16 Ahli Parlimennya tampil membuat gesaan terbuka supaya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan.
Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan tersebut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Whip Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang sebelum ini menekankan keperluan peralihan kepimpinan tertinggi parti.
Mereka berpandangan perubahan segera perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan dan hala tuju Bersatu kekal relevan dalam landskap politik semasa.
Antara Ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah wakil dari Kangar, Kubang Pasu, Kulim-Bandar Baharu, Ketereh, Tanah Merah, Machang, Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Gerik, Padang Rengas, Lumut, Indera Mahkota, Rompin, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Mersing.
Menurut kenyataan tersebut, walaupun jasa dan sumbangan Muhyiddin diakui, realitinya kepimpinan sedia ada didakwa tidak lagi mampu menyatukan parti atau memacu kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
Sehubungan itu, mereka menyuarakan keyakinan bahawa Hamzah berupaya mengambil alih peranan sebagai pemangku presiden untuk memulihkan kekuatan dalaman serta menyatukan kembali barisan kepimpinan.










