Bersatu Kini Pilihan Orang Melayu, UMNO Semakin Dilupakan, Dakwa Peja

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti itu didakwa semakin mendapat tempat dan keyakinan dalam kalangan kaum Melayu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga mendakwa kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu juga berdasarkan kerjasama yang dibentuk bersama PAS dan beberapa parti lain di dalam Perikatan Nasional (PN).

Ujar Ahmad Faizal, UMNO yang sebelum ini menjadi penaung bagi orang Melayu kini semakin dilupakan.

“Bersatu semakin diterima oleh kaum Melayu berbanding dengan UMNO. Maka, apabila Bersatu bergabung dengan Parti Islam SeMalaysia (Pas), Perikatan Nasional terus menjadi wadah perjuangan utama bagi umat Melayu di Malaysia.

“Musuh-musuh politik Perikatan Nasional sebolehnya mahu menggagalkan kerjasama ini. Dalam masa yang sama, telah cuba untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan mencipta ungkapan ‘Pemerintahan Taliban’.

“Sejurus Perikatan Nasional berjaya memenangi 74 kerusi semasa PRU yang lepas, segera pihak-pihak ini mencipta ungkapan baru, ‘The green wave’,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di IDCC, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dua naib presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee serta Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

BBerkaitan

Latest articles