KUALA LUMPUR: Bersatu menyambut baik dan menghargai ketetapan PAS untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 akan datang.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pendirian PAS itu akan membantu kejayaan buat PN dalam PRU-15.
Sehubungan itu Bersatu akam memberikan komitmen sepenuhnya untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera bersama parti-parti gabungan lain termasuk Pas, Gerakan, STAR dan SAPP di semua peringkat akar umbi.
Malah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat semalam telah membincangkan cadangan serta maklum balas berkaitan Manifesto PRU-15 PN yang dirangka oleh Jawatankuasa Manifesto yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.
Terdahulu, mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dengan PN untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) atas prinsip penyatuan ummah.