Bersatu Hantar Surat Pemberhentian Ahli Kepada Enam MP Secara Serentak

KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima surat pemberhentian keahlian secara serentak, demikian menurutnSetiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Jelasnya, daripada keenam-enam mereka, yang pertama akan dihentikan keahliannya adalah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

“Kita akan beri serentak (surat pemberhentian) semua (keenam-enam) tapi saya kata yang jelas terhenti adalah Suhaili, malam tadi nampak dua lagi (Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Kelang), (turun pentas PH) ia lagi jelas,” katanya dalam sidang media selepas ceramah umum di Taman Seri, Batang Kali, malam tadi.

Menurut Hamzah, Bersatu telah membuat keputusan mengenai pemberhentian keenam-enam mereka, selain satu mesyuarat susulan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan diadakan minggu depan untuk memperkuatkan lagi keputusan.

“Memang telah ada keputusan kita yang hanya menunggu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi untuk buat keputusan.

“Dua lagi (Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Kelang) yang hari ini bangkit dan bersuara di pentas calon PH, kalau ikutkan Pelembagaan parti secara automatik mereka terhenti daripada menjadi ahli parti.

“Maka kita akan bawa juga untuk buat keputusan nanti,” kata Hamzah.

Dalam pada itu, Hamzah berkata parti sudah maklum akan tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari yang didakwa turun berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

“(Datuk Dr) Suhaili Abdul Rahman sudah ada keputusan asal cuma nak buat pelaksanaan.

“Yang ini (Ahli Parlimen Tanjong Karang dan ADUN Selat Kelang) kita akan tengok sebab kita terpaksa berlaku adil kepada semua.

“Kita akan buat apa yang terkandung dalam Pelembagaan parti,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles