Bersatu Gugurkan Keahlian Zainul Hisham

Tindakan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini menyebabkan dirinya digugurkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Surat pengguguran keahlian itu ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Suhaimi Yahya.

Surat itu menyebut tindakan Zainul telah mengemukakan borang pencalonan sebagai calon bebas tanpa kebenaran atau persetujuan Bersatu telah melanggar perlembagaan parti.

“Pada 20 Jun 2020 (Sabtu), YBhg. Dato’ didapati telah mengemukakan borang penamaan calon dalam Pilihanraya Kecil N 23. Chini sebagai seorang calon bebas tanpa kebenaran dan/atau persetujuan BERSATU.

“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), keahlian YBhg. dalam BERSATU adalah terhenti secara serta merta,” katanya.

Bersatu sebelum ini mengambil pendirian untuk tidak meletakkan calon dan menyokong calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional dalam PRK Chini iaitu Mohd Sharim Md Zain mewakili Perikatan Nasional.

Seorang lagi calon bebas yang bertanding ialah Mohd Shukri Mohd Ramli.

Kerusi DUN Chini kosong setelah penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

BBerkaitan

Latest articles