Bersatu Gantung Keahlian MP Kuala Kangsar Empat Tahun

KUALA LUMPUR: Keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung selama empat tahun bermula awal bulan ini selepas mengumumkan sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga menjelaskan, kesemua jawatan parti yang disandang oleh Iskandar Dzulkarnain telah digantung berkuat kuasa 3 November lepas.

“Keputusan penggantungan itu dibuat Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Iskandar Dzulkarnain yang juga Ketua Bahagian Kuala Kangsar.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Iskandar Dzulkarnain mengumumkan pendirian menyokong Anwar setelah mengambil kira cabaran penduduk di kawasannya dan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Hamzah mendakwa, wakil rakyat itu telah diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Malah ugutan itu didakwa bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

BBerkaitan

Latest articles