Bersatu tidak berhasrat mendapatkan penjelasan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaannya bahawa ramai ahli parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausahanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ini memandangkan sudah ramai ahli parlimen Umno menafikan mereka beralih sokongan kepada Presiden PKR itu untuk membolehkan pembentukan kerajaan yang baru.
“Tidak (kami tidak akan meminta penjelasan Zahid)… Kami ada ramai rakan sekutu lain dan kebanyakan mereka menafikan (menukar sokongan). Ini menunjukkan (dakwaan Anwar) cuma sekadar gimik.
“Penjelasan apa yang kami perlukan? Untuk kami, kami mahu bersama presiden kami dan pada masa sama rakan sekutu PN teguh, mereka bersama kami, jadi tidak timbul soalan kita perlu klarifikasi ataupun tidak,” katanya kepada pemberita di Tambunan, Sabah.
Hamzah juga merujuk kepada tindakan PAS yang mahu Umno menjelaskan kedudukan parti itu berhubung sokongan kepada Anwar.
Dalam masa yang sama, Hamzah beranggapan kenyataan Zahid yang muncul selepas dakwaan Anwar itu akibat tekanan pihak lain.
“Kenyataan dia boleh jadi tricky (berlapis) kerana mungkin ada seorang dua yang tekan dia untuk beritahu mereka bersama Anwar… kita tak tahu,” ujarnya.
Rabu lalu Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yanh diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘telah tumbang’ memandangkan dirinya mendapat sokongan majoriti ahli parlimen daripada pelbagai parti.