AMPANG: Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memuncak apabila Bersatu Bahagian Ampang secara terbuka menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti.
Dalam kenyataan tegas dikeluarkan semalam, Setiausaha Bersatu Bahagian Ampang, Daing Mohamad Daing Makati memaklumkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian pada 28 Oktober lalu.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat bagi memulihkan perpaduan parti dan mengembalikan keyakinan ahli terhadap masa depan Bersatu.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan akar umbi yang mahu melihat perubahan demi kelangsungan perjuangan parti,” katanya.
Jawatankuasa bahagian itu turut menggesa supaya satu pelan transisi kepimpinan dilaksanakan secara tersusun dan inklusif agar Bersatu kekal kuat menjelang pilihan raya akan datang.
Daing menjelaskan, perbincangan mesyuarat turut memberi tumpuan terhadap kemelut hubungan dingin antara Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang dikatakan menjejaskan kestabilan parti.
“Kegagalan pucuk pimpinan, khususnya Presiden, menasihati dan menyatukan kedua-dua tokoh ini telah menyebabkan perpecahan semakin parah di peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Sumber dalaman mendakwa tindakan Bersatu Ampang ini berpotensi mencetuskan gelombang baharu penentangan dalaman terhadap kepimpinan Muhyiddin susulan beberapa bahagian lain dikatakan turut menyuarakan ketidakpuasan hati dengan cara parti diuruskan ketika ini.










