SEGAMAT: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina bertukar tragedi apabila seorang lelaki berusia lingkungan 30-an putus kaki kiri selepas terkena letupan bunga api dalam kejadian di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, awal pagi semalam.
Insiden kira-kira jam 12.30 tengah malam itu berlaku ketika mangsa dipercayai sedang bermain bunga api jenis ‘shoot cake 4(D) 16 shot (premium)’ di hadapan rumahnya sebelum berlaku letupan kuat yang mencederakannya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, siasatan awal mendapati letupan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.
Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Segamat dan kini dirawat di zon merah di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan.
Pegawai perubatan mengesahkan kaki kiri mangsa putus dari bahagian bawah lutut, namun keadaannya dilaporkan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Segamat di talian 07-9324222 atau balai polis berhampiran.










