Beberapa pemimpin politik mula memberikan respon terhadap penubuhan parti baru Tun Dr Mahathir Mohamad yang dinamakan Parti Pejuang Tanah Air atau dikenali sebagai Pejuang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tan Sri Rais Yatim misalnya mempersoalkan apakah Pejuang dapat mengumpulkan perpaduan di kalangan kaum Melayu.
Apatah lagi kini terdapat beberapa parti politik yang memperjuangkan kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera.
Khabarnya dah ada parti baru nama Pejuang, anjuran TunM yg jadi Pengerusi dan anakndanya DS Mukhriz sbg Presiden. Terzahirkah perpaduan Melayu dlm parti ini? pic.twitter.com/Gn2tlY3NEw
— RAISYATIM (@DrRaisYatim) August 12, 2020
“Khabarnya dah ada parti baru nama Pejuang, anjuran Tun M yang jadi pengerusi dan anakandanya DS Mukhriz sebagai presiden. Terzahirkah perpaduan Melayu dalam parti ini?” demikian ciapan Rais di Twitternya.
Untuk rekod, Pejuang ditubuhkan oleh Dr Mahathir dan lima bekas ahli Bersatu yang lain selepas kesemua mereka dipecat dari parti kerana memilih untuk duduk di blok pembangkang pada sidang Dewan Rakyat, Mei lalu.
Tidak berpuas hati dengan pemecatan itu, mereka bertindak membawa kes itu ke mahkamah.
Namun mahkamah baru-baru ini membatalkan kes yang dibawa bekas ahli-ahli Bersatu seperti yang dimohon Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa juga secara sinis menyindir penubuhan Pejuang, yang mengangkat Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai pengerusi dan presidennya.
“Parti Pejuang Tanah Air (Papet)…Tubuh dan lantik keluarga sendiri..” ciap Annuar di Twitternya.