KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak nekad mahu memberikan khidmat yang terbaik kepada orang-orang Setiawangsa jika menang Pilihan Raya ke-15, Sabtu ini.
Malah misi merampas kembali kerusi Parlimen itu yang sebelum ini dimenangi oleh PKR amat penting buat Izudin, atau mesra disapa Tokdin.
Beliau berkata, BN telah pun memulakan gerak kerja memperbaiki kelemahan sejak berakhir PRU14 dan berharap penduduk di kawasan tersebut akan memberi peluang kepada beliau untuk menabur bakti.
Ditemui di Malam 10 Aspirasi Tokdin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, malam tadi, Izudin memberitahu manifestonya menumpukan kepada keperluan dan permasalahan golongan B40 yang tersepit dengan kos sara hidup hari ini.
Begitu juga dengan rungutan penduduk setempat terhadap masalah tempat letak kereta di kawasan PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA), termasuk isu melebarkan jalan.
Dalam pada itu Izudin berkata pihaknya cakna dengan kehendak golongan muda yang menunjukkan minat dalam bidang perniagaan.
“Untuk pengundi muda, kita tumpukan kepada hub-hub perniagaan, begitu juga kawasan rehat dan rawat bagi pekerja penghantar makanan dan barangan seperti Grab, Lalamove dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu Izudin meletakkan sasaran dalam tempoh dua tahun untuk melaksanakan janji-janjinya kepada pengundi Setiawangsa.
“Harapan saya semoga mendapat sokongan daripada pengundi Parlimen Setiawangsa dan saya hendak buat apa yang saya rancangkan ini dalam tempoh dua tahun.
“Dalam tempoh dua tahun ini kami akan menilai KPI ini sama ada berjaya atau tidak
“Namun melihat kepada kesungguhan saya yakin ia boleh berjaya dan mampu direalisasikan,” ujarnya.
PRU14 lalu, kerusi Parlimen itu dimenangi Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, dengan majoriti 14,372 undi dan beliau kini sekali tampil mempertahan kerusi berkenaan.
Izuddin dan Nik Nazmi akan ditentang Bibi Sunita Sakandar Khan dari parti Pejuang, Lim Yen Tiong (Bebas), Mior Rosli Mior Mohd Jaafar (Bebas) dan Nurul Fadzilah Kamaluddin (Perikatan Nasional).