Beri Peluang Wanita Pegang Jawatan Tertinggi Di Sektor Swasta

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa sektor swasta, khususnya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), untuk memberi lebih banyak peluang kepada wanita memegang jawatan tertinggi.

Beliau menegaskan bahawa sektor swasta perlu menilai mengapa jumlah wanita di peringkat kepimpinan masih rendah.

Menurutnya, meskipun perubahan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa, perancangan rapi perlu dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat.

“Kabinet akan meminta laporan berkenaan perkara ini. Jika jumlahnya masih kurang, ia tidak boleh dipaksa serta-merta, tetapi harus ada perancangan yang teliti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; serta Timbalannya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Majlis bertemakan “Wanita Beraspirasi Membina Legasi” itu turut menyaksikan pelancaran Dasar Wanita Negara dan penyampaian Anugerah KASIH Wanita.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan bahawa wanita dalam sektor awam telah menunjukkan prestasi membanggakan dan diberi kedudukan penting.

Namun, beliau berpendapat masih terdapat ruang untuk memperkukuhkan penglibatan mereka dalam kepimpinan sektor kerajaan.

“Sebagai contoh, walaupun penyertaan wanita dalam Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) telah mencapai 30 peratus, masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Ketua Setiausaha Negara untuk mencari jalan meningkatkan peranan wanita agar kedudukan mereka seiring dengan keupayaan yang dimiliki.

Selain itu, Anwar turut menyentuh cabaran yang dihadapi wanita dalam dunia politik. Beliau menekankan bahawa meskipun undi wanita memainkan peranan penting dalam pilihan raya, penyertaan mereka dalam Parlimen masih jauh daripada sasaran minimum 30 peratus, dengan hanya sekitar 14 peratus setakat ini.

“Parti-parti politik perlu memberi lebih banyak ruang kepada wanita untuk menyuarakan pendapat serta menyertai kepimpinan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles