Beri Peluang Kepada Pas, Negara Berdepan Banyak Masalah, Dakwa Tun Mahathir

SUNGAI PETANI: Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa negara bakal berdepan lebih banyak masalah sekiranya Pas mentadbir selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pejuang itu mendakwa, ini kerana terdapat pemimpin PAS yang menggunakan agama untuk tujuan berpolitik.

“Saya fikir mereka (PAS) akan memperalat agama lebih banyak lagi (jika menang PRU15), ketika ini pun mereka sudah banyak memperalatkan agama.

“Jika mereka menang, kita akan menghadapi lebih banyak masalah kerana ada (pemimpin) yang ekstrem tetapi mereka yang mengikut ajaran Islam betul, tidak ada masalah,” dakwanya menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, Mahathir turut mendakwa bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddn Yassin juga kini didapati memperalatkan agama apabila bergabung dengan PAS.

“Saya kenal Muhyiddin… dulu dia tak baca doa, sekarang dalam pilihan raya, baca doa panjang-panjang sejak berkawan dengan PAS.

“Kita kena hormat agama, jangan peralat agama, tetapi mereka peralat agama kononnya mereka terlatih dalam bidang agama,” dakwanya pada sidang media selepas Rapat Umum Sayang Bangsa dan Negara, di sini, malam tadi.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan meminta supaya rakyat memberi peluang kepada PN selama satu penggal berdasarkan rekod prestasi gabungan parti itu yang bersih daripada sebarang salah laku.

Sementara itu, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu turut menegaskan, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita mungkin lebih baik menjadi pembangkang daripada bekerjasama dengan (didakwa) ‘penyangak’. Kita ada pilihan lain (untuk kerjasama) tetapi bukan BN, PN atau PH,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img