Beri Laluan Kepada Calon PH, Sivaraj Akur Keputusan Pimpinan BN

KULIM: Akur dengan keputusan pimpinan parti yang mahukan dirinya berundur untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj berkata tiada kepentingan yang lebih utama daripada ketetapan parti.

Meskipun begitu, Sivaraj percaya bahawa khidmatnya masih diperlukan selepas lebih tiga tahun bersama penduduk Padang Serai.

“Saya akan terus berkhidmat kepada penduduk setempat di sini walaupun tahu tidak akan dapat menyelesaikan masalah besar dihadapi mereka.

“Namun, saya percaya dengan sedikit kebolehan serta kemampuan yang ada ia sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah asas dalam kalangan masyarakat di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kehadirannya di Padang Serai diterima baik semua lapisan masyarakat malah sentiasa mendapat sokongan serta nasihat untuk terus berkhidmat.

“Selama saya di sini, kaum ibu sentiasa melayan seolah-olah saya anak mereka sendiri, kakak dan abang tidak pernah leka untuk memberi nasihat dan bimbingan bila perlu malah adik-adik di Padang Serai sentiasa memberi sokongan.

“Mereka ini yang menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cuba untuk berkhidmat dengan sebaik mungkin selama ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian sewajarnya mengenai isu-isu yang diketengahkan melalui manifestonya sebelum ini.

“Lima tekad kami perlu diberi perhatian sewajarnya kerana Parlimen Padang Serai jauh ketinggalan dalam segenap aspek. Tidak adil untuk rakyat Padang Serai terus diabaikan tanpa pembelaan yang sepatutnya diterima oleh mereka,”katanya.

Sivaraj diminta memberikan laluan kepada PH, Dr Mohamad Sofee Razak bagi menghadapi saingan lain pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Padan Serai.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ceramah pengumuman khas yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha di sini, semalam.

[contact-form][contact-field label=”Name” type=”name” required=”true” /][contact-field label=”Email” type=”email” required=”true” /][contact-field label=”Website” type=”url” /][contact-field label=”Message” type=”textarea” /][/contact-form]

BBerkaitan

Latest articles