Beri Kepercayaan Kepada Pihak Berkuasa, JDT Mahu Selangor FC Pertimbang Keputusan Tarik Diri

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa dengan keputusan Selangor FC yang menarik diri dalam aksi Piala Sumbangsih menentang pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, esok.

CEO JDT, Alistair Edwards berkata, sedangkan Ketua Polis Negara dan polis Johor telah memberi jaminan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong pada hari perlawanan.

“Kami mengecam keras kejadian membabitkan Faisal Halim dan ancaman diterima oleh sebahagian individu di Selangor FC.

“Bagaimanapun, kami berharap Selangor FC dapat mempertimbangkan keputusan untuk menarik diri kerana ini boleh menetapkan duluan kepada mana-mana pasukan untuk menarik diri jika berasa tidak selamat,” katanya dalam kenyataan.

Edward juga memberi contoh bagaimana JDT sebelum ini pernah diserang di Pahang, Perak dan Kelantan tetapi pasukan itu tetap hadir dan bermain dalam perlawanan tersebut yang dikawal ketat polis.

“Selangor FC tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan sebelum ini malah pasukan dan penyokong mereka diiringi polis ke dalam stadium dan pulang ke bas mereka.

“Kita perlu letak kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan sahaja untuk menyiasat kes ini tetapi untuk melindungi keselamatan kita dan memastikan musim bola sepak 2024-2025 berjalan lancar,” katanya.

Semalam, Selangor FC memutuskan ‘tidak akan hadir’ dalam perlawanan menentang JDT selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan mereka menunda tarikh asal perlawanan atas alasan ‘faktor keselamatan’.

Selangor FC berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan terperinci mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.

Permohonan Selangor FC itu susulan insiden malang menimpa Faisal yang cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Ahad lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

BBerkaitan

Latest articles