Beri BN-PH Satu Penggal Di Kelantan Buat Perubahan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kasihan dengan rakyat Kelantan yang masih ‘terikat’ dengan sistem pentadbiran yang sama sejak 33 tahun lalu.

Apatah lagi negeri itu juga dilihat masih ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri itu mahu pengundi Kelantan memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

“Berilah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan perubahan di negeri ini. Kasihan rakyat negeri ini. Cuba beri satu penggal, lima tahun sahaja (kepada Kerajaan Perpaduan) kalau kami buat perkara sama atau tidak betul (tiada kemajuan) boleh tukar balik (kerajaan negeri).

“Kali ini cuba beri dukungan kepada kami. Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik. Kepada ibu bapa beritahu anak-anak yang akan balik (untuk mengundi) dan sedia ada menetap di negeri ini, cukuplah sampai di sini kerana 33 tahun (pentadbiran) terlalu panjang,” katanya ketika berucap pada Program Silaturahim Timbalan Perdana Menteri bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia peringkat Negeri Kelantan, hari ini.

Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan memastikan nasib rakyat Kelantan dibela dan kemunduran negeri ini ditebus dengan kemajuan yang lebih pesat.

Selain Kelantan, lima lagi negeri yang turut mengadakan PRN ialah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di keenam-enam negeri itu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Ketika sidang media, Ahmad Zahid berkata, sekiranya Kelantan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan selaku Kerajaan Persekutuan ketika ini, maka setiap rancangan untuk membangunkan ekonomi negeri itu lebih mudah untuk diselaraskan.

BBerkaitan

Latest articles