Beri Anwar Peluang Berganding Dengan BN Mentadbir Negara

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos percaya Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu mengembalikan kegemilangan negara.

Malah Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjuang terlalu lama untuk mendapat jawatan itu dan itulah hasrat rakyat pada PRU15 yang lalu.

“Ini adalah kehendak rakyat dan kami di BN dan juga Ketua UMNO Bahagian yang kalah bertanding perlu akur.

“Kami yakin dengan adanya Kerajaan Perpaduan di negara dan kita percaya negara akan kembali seperti kemuncaknya sebelum PRU14,” ujar Pengarah Komunikasi BN Selangor itu ketika ditemui pihak media sebelum mesyuarat Ketua UMNO Bahagian, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 apabila diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

Bekas calon Parlimen Sungai Besar itu juga meluahkan keyakinan bahawa PH dan BN mempunyai pengalaman masing-masing mentadbir negara ini.

“PH ada pengalaman selepas PRU14 dan akhirnya ditolak oleh rakyat selepas 22 bulan memerintah.

“BN yang sudah lama memerintah dan juga ditolak oleh rakyat.

“Sudah pasti pengalaman ini dijadikan sebagai satu kebaikan untuk tadbir negara.

“Yang mustahaknya negara perlu ditadbir dengan baik kerana penggal ini kerajaan tidak stabil menyebabkan rakyat dan negara rugi.

“Banyak pembangunan tidak dapat dilaksanakan apabila pelabur-pelabur asing juga tidak percaya ke Malaysia.

“Hari ini kita lihat nilai ringgit Malaysia jatuh di pasaran saham jatuh dan selepas hari ini, semuanya akan kembali pulih dan harap rakyat dapat terima Anwar dengan keputusan yang dibuat.

“Kita tunggu bagaimana lima tahun petadbiran Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles