KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu dirinya mungkin tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Bekas Perdana Menteri itu turut berkata, keputusan itu diambil kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerusi Parlimen Pagoh, selain mahu menguruskan hal berkaitan parti.
“Saya mungkin tidak akan bertanding tapi ini terserah kepada pimpinan di atas. Jadi saya nak bagi peluang kepada ramai lagi tokoh-tokoh di Johor terutamanya untuk kerusi itu, tapi itu terserah kepada mereka nantilah, siapa nak mengisi kerusi tersebut. Kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor, malam tadi.
Pengerusi Bersatu Johor, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata gabungan itu yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan berkemungkinan bertanding di kesemua kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
“Peringkat awal ini persiapan telah bermula dan nampaknya hubungan kerjasama antara parti-parti seperti PAS memang sah dan istiqamah bersama PN, manakala dengan Gerakan dan parti-parti yang ada di Sabah tiada masalah,” katanya.
Malah, PN akan mengambil kira pengalamannya ketika bertanding pada PRN Melaka yang lalu, selain faktor pengundi 18 tahun.
“Kita akan bagi perhatian serius bagaimana untuk tarik sokongan anak-anak muda, pengundi muda dan pengundi yang tidak pernah mengundi tapi telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara automatik,” katanya.
Mengenai calon muda PN untuk PRN Johor, Muhyiddin berkata pihaknya bersikap terbuka untuk menggabungkan generasi muda dan lama untuk bertanding pada kali ini.