KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi peluang membela diri atas pertuduhan rasuah yang sedang dihadapinya ketika ini.
Dalam satu sesi wawancara bersama Bloomberg kelmarin, Anwar berkata Ahmad Zahid yang kini sedang menjalani perbicaraan, mahu rakyat memberi ruang kepada mahkamah menentukan kedudukan beliau dalam 47 pertuduhan rasuah berkaitan dana Yayasakan Akalbudi itu.
Tegas Anwar lagi, proses mahkamah adalah bebas dan beliau tidak terfikir untuk sesekali menghakimi kes itu.
“Proses mahkamah mestilah bebas dan beliau mesti diberi peluang, keadilan untuk diadili oleh mahkamah yang bebas dan tidak berat sebelah.
“Kenapa perlu merujuk kepadanya secara peribadi sedangkan saya telah mengatakan bahawa sistem itu korup. Ramai lagi pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka. Bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, sebanyak ratusan dan berjuta-juta dolar,” katanya.
Sambung beliau lagi, sejak awal lagi beliau sudah memberikan mesej yang jelas bahawa tidak ada lagi rasuah, tiada lagi rundingan terus, tiada lagi penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran beliau.
“Saya perlu kekal konsisten selama beberapa hari, minggu, bulan dan tahun. Saya pasti rakyat akan memutuskan bukan sahaja memihak kepada kita, tetapi memihak kepada naratif baharu, dasar baharu. Biar kita ‘move on’.
“Kita perlu bekerja untuk memastikan sistem tadbir urus yang baik dan sistem itu bebas daripada pemimpin yang korup.
“Saya perlu bersikap adil, semua sudah patuhi peraturan sekarang, tidak ada jejak daripada pasukan saya cuba melakukan pembaziran wang kontrak. Orang harus nilai saya sejak dua bulan ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, ketika disoal tentang risiko ‘kehilangan’ Ahmad Zahid, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri berikutan kes rasuah beliau, Anwar tampil yakin dengan kekuatan kerajaan ditadbirnya kini.
“Kita sudah diuji di Parlimen tempoh hari dan kami perolehi majoriti dua pertiga yang lebih kuat.
“Saya tidak perlukan majoriti dua pertiga. Saya perlukan majoriti yang selesa atau kuat. Tidak ada tanda-tanda bahawa terdapat pergeseran dalam gabungan ini.
“Buat masa ini kerajaan stabil. Itu sudah cukup bagus untuk Malaysia selepas tidak stabil selama 10 hingga 15 tahun yang lalu,” ujarnya.
Untuk makluman, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sedang membela diri 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Kes itu yang kini berada di peringkat bela diri yang dijadualkan bersambung pada 10 April ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.