KUALA LUMPUR: Op Hiburan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, malam tadi Berjaya memberkas seorang pegawai polis wanita yang juga positif dadah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pegawai rendah polis berusia 26 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 2 pagi.
“Suspek yang merupakan warganegara tempatan sedang bercuti sebelum dijadualkan melapor diri di Kontinjen Johor.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelasnya, wanita itu direman selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi.