KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia agar mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mengelakkan pembaziran sepanjang bulan Ramadan, selaras dengan nilai kesyukuran dan kesederhanaan yang ditekankan dalam Islam.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk bermuhasabah dan mendisiplinkan diri, namun realitinya, bulan ini sering bertukar menjadi pesta makanan dan pembaziran.
“Pembaziran bukan sahaja melibatkan sumber makanan, malah menyumbang kepada perubahan iklim akibat pelepasan gas rumah hijau daripada makanan yang mereput,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penyediaan makanan secara berlebihan, terutamanya di bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa, menjadi punca utama peningkatan pembaziran makanan.
“Berdasarkan data SWCorp, sebanyak 75,000 tan makanan dibazirkan sepanjang Ramadan 2023, meningkat 15 hingga 20 peratus berbanding bulan-bulan lain. Oleh itu, kami menggesa masyarakat untuk membeli makanan secara bijak, menyimpan lebihan makanan dengan betul, serta menyokong program sumbangan makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohideen turut menekankan isu peningkatan sisa plastik sepanjang Ramadan, terutama akibat penggunaan bekas plastik sekali guna di bazar.
“Peningkatan sisa makanan dan pembungkusan plastik bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah membebankan tapak pelupusan sampah,” ujarnya.
Sehubungan itu, CAP menyarankan pengguna agar membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
Peniaga juga digalakkan memberikan insentif kepada pelanggan yang membawa bekas sendiri sebagai usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Selain itu, Mohideen menyokong kempen tanpa beg plastik yang diperkenalkan Perbadanan Putrajaya (PPj) di bazar Ramadan dan menyeru majlis perbandaran lain untuk melaksanakan langkah serupa dalam usaha mengekang pencemaran plastik.
“Mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan plastik bukan sahaja menyokong kelestarian alam, tetapi juga selari dengan nilai Ramadan yang mengutamakan kesyukuran dan keprihatinan terhadap persekitaran,” katanya.