Berebut Tempat Minta Sedekah, Lelaki Maut Ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas ditikam dalam satu kejadian pergaduhan dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan meminta sedekah di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 12 tengah hari daripada orang awam yang berada di lokasi.

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan peminta sedekah yang sering berada di kawasan sekitar bank tersebut, manakala suspek pula dipercayai baru datang untuk meminta sedekah di kawasan yang sama.

“Pertengkaran mulut telah berlaku antara kedua-duanya sebelum suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa beberapa kali di bahagian dada. Mangsa terjatuh dan berlumuran darah sebelum disahkan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.

Suspek berusia 28 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di lokasi kejadian, hasil maklumat daripada saksi awam.

Menurut Mohd Iqbal, suspek juga merupakan seorang peminta sedekah dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” tambah beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika sabit kesalahan.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam pada jam 10 pagi ini.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 014-8905051 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles