Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata mana-mana individu yang melanggar peraturan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) berdosa besar di sisi agama.
Tegasnya, peraturan berkenaan dilaksanakan sebagai satu usaha mengurangkan jangkitan Covid-19 di kalangan masyarakat, dan mereka yang ingkar akan membahayakan nyawa orang lain dan ini bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam menangani wabak.
Mohd Asri mengambil contoh penularan penyakit taun ketika zaman Rasulullah SAW.
“Dalam hadis diriwayatkan daripada Abdurrahman Auf bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberi arahan jika kita mendengar (wabak penyakit) taun di satu tempat, jangan masuk dan orang yang berada di dalam jangan keluar.
“Rakyat hendaklah patuh kepada arahan TEMCO, manakala golongan ahli agama yang berada di dalam kawasan terbabit, iaitu ulama, ustaz dan imam perlu mengingatkan orang ramai agar jangan keluar dari kawasan wabak dan patuhi arahan kerajaan hingga tempoh TEMCO tamat,”katanya memetik laporan BH.
Mohd Asri juga mahu kesemua pihak memandang serius hal ini dan memberi kerjasama dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Untuk rekod, kerajaan melaksanakan TEMCO di dua kampung dalam daerah Sanglang, Perlis, iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang dikuatkuasakan dari 10 hingga 31 Ogos.