KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membabitkan rasuah dan pecah amanah melibatkan dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah lebih RM3.7 juta.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, dengan tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding memohon supaya kes berkenaan dibicarakan.
Mengikut dua pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif TKAT bagi memperoleh suapan berjumlah lebih RM550,000 berkaitan kelulusan pelantikan syarikat pembekal bungkusan Hari Raya TKAT 2025.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Kementerian Pertahanan pada Jun 2024.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah apabila melaburkan RM3 juta dana TKAT tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan, manakala pertuduhan keempat melibatkan penerimaan RM200,000 daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.










