Berdepan 18 Pertuduhan Berkait Wang Haram, Wan Saiful Dakwa Jadi Mangsa Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa dirinya sengaja didakwa dengan 18 pertuduhan pengubahan wang haram oleh kerajaan pada hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah cubaan mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan kerajaan mentadbir negara termasuklah isu kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat.

“Tidak apa, saya akan hadir mahkamah dan bersihkan nama saya. Saya anggap semua pertuduhan dikenakan terhadap saya untuk alih perhatian rakyat daripada terus melihat pelbagai kegagalan dilakukan oleh kerajaan hari ini.

“Gagal dalam isu kenaikan kos sara hidup, gagal bantu rakyat, gagal juga jalankan reform yang mereka perjuangkan dan banyak lagi kegagalan tersebut. Buat demonstrasi bantah kekejaman Israel pun gagal sebab banyak rungutan kita terima.

“Justeru itu mereka terpaksa cari isu baru untuk mengalih perhatian rakyat daripada segala bentuk kegagalan mereka,” katanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Terdahulu Wan Saiful berdepan 18 pertuduhan berkaitan dengan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta hari ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya telah dibuat tergesa-gesa apabila beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selama 30 minit sebelum dituduh kembali di kamar mahkamah berbeza.

Ini kerana, ketika masuk mahkamah pertama, beliau telah dikenakan DNAA serta dilepaskan dan tanpa dibebaskan.

“Saya tak faham dibebaskan daripada apa sebab saya belum dituduh.

“Akibat kegopohan itu berlaku DNAA hampir 30 minit sebelum serta-merta dituduh semula di mahkamah sebelah.

“Ini menunjukkan kegopohan itu memang wujud sehingga berlaku kepincangan sebegini. Jika dirancang dengan baik, saya rasa tak ada la DNAA sebelum dituduh.

“Saya rasa ini rekod sebab takda orang lain DNAA tanpa dituduh tapi itu berlaku,” ujarnya.

Untuk rekod pada awal tahun ini juga, Wan Saiful dikenakan dua tuduhan yang berkaitan dengan inisiatif Jana Wibawa, satu rangsangan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu untuk membantu kontraktor Bumiputera semasa pandemik Covid-19.

BBerkaitan

Latest articles