Berbeza Pegangan Politik Tak ‘Menghalalkan’ Tuduh Orang Islam Lain Kafir

KUALA LUMPUR: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung kini tidak sepatutnya dicemari dengan tindakan sesetengah pihak menuduh seseorang Islam yang lain sebagai kafir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, hanya kerana perbezaan pegangan politik, ia tetap tidak menghalalkan cara.

Malah tindakan menjatuhkan hukum kafir itu amat berbahaya kerana bertentangan dengan prinsip agama, selain akan mencetuskan kegelisahan dalam masyarakat.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab serta tidak sewenang-wenangnya menuduh seseorang muslim itu menjadi kafir disebabkan perbezaan politik.

“Sebarang perkara dalam urusan agama khususnya dalam bidang akidah dan syariah perlulah dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri serta ilmuan yang diperakui kepakarannya dalam bidang tersebut,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, malam ini.

Dipercayai kenyataan Dr. Na’im itu merujuk kepada satu rakaman video yang tular menunjukkan seorang wanita warga emas didakwa penyokong PAS tidak mahu mengundi UMNO dengan mengatakan parti itu sebagai kafir sehingga kiamat.

Kejadian dipercayai berlaku ketika kempen Barisan Nasional (BN) di sebuah negeri di Pantai Timur.

Menerusi video itu, warga emas terbabit dihampiri seorang petugas kempen sambil membawa sekeping risalah tertera gambar calon dan memberitahu bahawa dia sedang berkempen untuk calon UMNO.

Bagaimanapun, wanita itu enggan mengundinya kerana mendakwa mereka yang berada dalam UMNO sebagai kafir hingga kiamat, selain turut mendakwa parti itu sebagai asabiyyah.

Wanita itu juga mendakwa perkara itu ada dinyatakan dalam kitab yang diajar oleh ‘Tok Guru’, namun tidak menyatakan siapa tok guru yang dimaksudkan.

Menurut Dr. Na’im, dakwaan seumpama itu amat berat serta tidak wajar kerana sikap suka kafir mengkafir sesama Muslim adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

BBerkaitan

Latest articles