Berani Sakau Kita Tangkap Bawa Mahkamah – Anwar

PADANG RENGAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi peringatan tegas bahawa tiada ruang untuk mana-mana pihak menyeleweng atau ‘menyedut’ dana kerajaan sepanjang beliau memegang mandat pentadbiran negara.

Menurutnya, amalan salah guna kuasa demi memperkayakan diri sendiri tidak lagi boleh diterima dalam Malaysia baharu yang mahu dibina di atas prinsip integriti dan amanah.

“Kalau ada yang berani cuba sakau duit kerajaan, kita tangkap dan bawa ke mahkamah. Jangan cuba selagi saya ada mandat,” tegasnya ketika berucap di Majlis Santuni MADANI & Sambutan Ihya’ Ramadan di Arena Kampung Chuar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, wang kerajaan adalah amanah rakyat dan wajib diurus dengan penuh tanggungjawab, bukannya menjadi lubuk kekayaan individu tertentu.

Mengimbau pengalaman lalu, Anwar berkata beliau tidak menyimpan dendam meskipun pernah melalui episod hitam termasuk ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Kini, fokusnya hanya satu iaitu membantu rakyat terutama golongan miskin.

Beliau turut menekankan bahawa dana kerajaan perlu dimanfaatkan bagi pembangunan pendidikan dan kebajikan, termasuk memperkukuh institusi Islam.

Antara yang diumumkan:
• RM2.6 bilion untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan aktiviti berkaitan Islam.
• Pemulihan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat yang sebelum ini dihentikan pada 2003.
• Tambahan RM200 juta bagi kerja baik pulih sekolah agama seluruh negara.

Dalam majlis sama, Anwar mengumumkan beberapa sumbangan khusus untuk komuniti setempat:
• RM2 juta bagi pembangunan tambahan Masjid Al-Muttaqin, Padang Rengas
• RM140,000 kepada 28 masjid sekitar Parlimen Padang Rengas
• RM200,000 kepada SABK Maahad Yahyawiah
• RM60,000 untuk program Dapur MADANI

Langkah itu, katanya, selari dengan komitmen kerajaan memastikan pembangunan rohani dan kebajikan rakyat terus diperkasa.

Dalam nada berbeza, Anwar turut mengingatkan masyarakat agar tidak terperangkap dengan sentimen kebencian antara kaum yang boleh merosakkan perpaduan negara.

Beliau menegaskan semua rumah ibadat – sama ada masjid atau kuil perlu mematuhi peraturan sedia ada.

“Jangan benci Cina, jangan benci India. Jangan gaduh sampai kerja tak jalan. Kita ikut peraturan, orang lain pun kena ikut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles