HULU SELANGOR: Berang dengan tindakan parti lawan mengubah suai logo UMNO ketika hari penamaan calon tempoh hari, Pemuda UMNO Selangor hari ini tampil membuat laporan polis bagi mendesak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap provokasi dilakukan penyokong Perikatan Nasional (PN) itu.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Imran Tamrin, berkata tindakan jelas menyalahi Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Tindakan itu memang jelas dan sengaja dilakukan PN melalui penyokongnya dengan niat jahat mendatangkan rasa sakit hati atau tidak senang yang boleh membawa perpecahan undi kepada PN.
“Tindakan penyokong itu juga seolah-olah membawa naratif yang tidak betul dan tidak baik dalam tempoh kempen yang sepatutnya dilaksanakan secara sihat, progresif serta berkepentingan rakyat, membawa isu tempatan atau mengenai dasar parti yang memberi kelebihan kepada rakyat.
“Bagaimanapun, tindakan dan sepanduk yang dibawa itu menyalahi Seksyen 4A (1) Akta Pilihan Raya 1954 berkaitan perkara menimbulkan perasaan tidak senang dan juga tidak baik kepada parti lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kesalahan PRK bagi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, hari ini.
Dalam pada itu Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di dalam hantaran di laman facebooknya malam ini berkata “ Kita boleh berbeza pendapat,tetapi jangan sampai menghina lawan kita”
Terima kasih pemuda UMNO Selangor katanya lagi.
Sebelum ini, beliau yang berang dengan tindakan segelintir penyokong PN yang mempamerkan replika mencantumkan logo parti UMNO dan DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lalu. berkata, berkempen dengan cara menghina pihak lawan bukan pendekatan politik matang sebaliknya mencemarkan imej agama Islam di mata orang lain.