Perang kenyataan antara Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Shafie Apdal nampaknya tidak berkesudahan apabila ketua menteri Sabah pada kali ini membalas dakwaan kononnya beliau mengambil sikap berdiam diri dalam itu tuntutan Filipina.
Membisu Terhadap Tuntutan Filipina, Shafie Tak Layak Jadi KM Sabah Lagi
Shafie kemudiannya meminta Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu merujuk kepada bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin yang dikatakan telah telah membawa isu tuntutan itu ke peringkat Mahkamah di Sepanyol bagi membantah tindakan Filipina yang menuntut Sabah.
“Kita telah suarakan tentang tuntutan ini malah telah menghantar bekas Peguam Negeri ke Mahkamah Sepanyol. Kamu tanyalah sendiri kepada Zaleha. Soalannya ketika ini, apakah yang Anifah buat ketika menjadi Menteri Luar?
“Saya bukan Menteri Luar tapi Anifah Aman. Janganlah tuduh saya. Kita telah pertahankan Sabah dan akan sentiasa pertahankannya,” jawab Shafie dalam sidang media hari ini.
Terdahulu Anifah mempersoalkan mengapa Shafie mengambil sikap berdiam diri dalam tuntutan Filipina terhadap Sabah yang disifatkan sebagai isu sensitif terhadap rakyat Sabah.
Isu berkenaan muncul selepas Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr pada 27 Julai lalu menerusi ciapan di Twitter mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
Selain mempersoalkan sikap lepas tangan Shafie dan tindakan Pengerusi Warisan, Datuk VK Liew untuk menjawab soal tuntutan berkenaan, Anifah percaya Shafie tidak layak dipilih sebagai ketua menteri sekali lagi jika gagal menjaga kedaulatan Sabah.
Dalam sidang media yang sama, Shafie mendakwa isu yang dibawa Anifah sebagai agenda politik, dipercayai demi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September depan.
“Ini bukanlah satu keutamaan ketika ini, saya sedang berdepan dengan pilihan raya ketika ini.
“Kita telah lakukan macam-macam termasuk ke mahkamah antarabangsa. Ini sebenarnya satu agenda politik sahaja, propaganda mereka (Anifah). Tapi orang Sabah bukan bodoh. Tanya apa pula Anifah sudah buat tentang perkara ini,” tegasnya.