Berakhirnya PRN Sabah, Abdul Rahman Janji UMNO Akan Bangkit Semula

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menyifatkan kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 sebagai episod perit tetapi bukan pengakhiran perjuangan parti itu.

Beliau menegaskan kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat ahli, malah menjadi peringatan bahawa perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada mana-mana individu atau satu pilihan raya semata-mata. “

Seperti generasi UMNO Sabah terdahulu, kita bangkit, kita belajar dan kita kembali lebih kuat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Abdul Rahman mengakui rasa kecewa dalam kalangan ahli selepas BN hanya memenangi enam daripada 45 kerusi, pencapaian paling buruk dalam sejarah UMNO di Sabah.

Namun, beliau menekankan bahawa kekalahan itu harus menjadi ruang untuk muhasabah dan pembaharuan.

Katanya, UMNO dan BN kini perlu lebih mendengar suara rakyat, merapatkan hubungan akar umbi serta memperkuat iltizam parti menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam mesej yang sama, Abdul Rahman merayu anak muda dan penyokong akar umbi agar tidak meninggalkan perjuangan UMNO.

Menurutnya, harapan bukan hilang pada malam keputusan pilihan raya diumumkan, sebaliknya hidup dalam diri setiap ahli yang terus setia.

“Selagi kita bersatu dan berkhidmat dengan ikhlas, masa depan UMNO Sabah akan kembali bersinar,” tegasnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa dengan kepercayaan rakyat serta dedikasi ahli parti, UMNO dan BN mampu bangkit lebih kuat pada masa depan.

Kekalahan PRN-17 jelas memberikan isyarat penurunan sokongan rakyat Sabah, namun Abdul Rahman optimis gelombang kebangkitan akan tiba semula jika parti terus memperkukuh asas perjuangan dan memperbetul langkah.

BBerkaitan

Latest articles