Bengkak Otak Punca Kematian Kanak-kanak Yang Tersepit Meja Lipat

KUALA LUMPUR: Punca kematian budak perempuan yang dipercayai maut akibat tersepit celah besi meja lipat adalah disebabkan bengkak pada otak berikutan kekurangan oksigen.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim, berkata ia berdasarkan laporan bedah siasat terhadap kanak-kanak berkenaan yang selesai dilakukan di Hospital Parit Buntar, Perak, tengahari tadi.

Beliau juga menolak unsur jenayah dalam kematian kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, mangsa ditemui abang sulungnya dalam keadaan tersepit pada jam 4.15 petang semalam sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan oleh ibunya.

“Namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Bedah siasat dilakukan pagi ini dan laporan mendapati punca kematiannya adalah sebagai ‘celebral edema due to asphyxia’ iaitu pembengkakan otak disebabkan kekurangan oksigen’ dan tiada unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya polis menasihatkan supaya ibu bapa dan penjaga untuk memastikan tahap keselamatan kanak-kanak di rumah atau tempat awam terjamin.

“Polis telah menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,”katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Aqifah Humaira Abdullah maut selepas tersepit di celah besi meja lipat di kediamannya di Taman Seri Putera, di sini, petang semalam.

Insiden itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun, sedang bermain sendirian di belakang rumah yang disewa ibunya.

Jenazah kanak-kanak itu telah dituntut untuk proses pengebumian selepas proses bedah siasat selesai.

Difahamkan, jenazah dibawa ke Masjid Permatang Tok Mahat, di sini, untuk disembahyang dan dikebumikan selepas solat Zohor.

BBerkaitan

Latest articles