Benarkah Albert Tei Terima Dana Taikun Singapura Berkait Pendedahan Rasuah Lesen Mineral Sabah?

KOTA KINABALU: Individu yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai pemberi maklumat dalam skandal rasuah lesen perlombongan mineral di Sabah, Datuk Albert Tei Jiann Cheing berdepan dengan dakwaan dirinya menerima dana dari luar negara.

Portal The Malaysian Corporate melaporkan Albert, 37, didakwa menerima pembiayaan daripada seorang tokoh perniagaan berpengaruh Singapura, yang juga Pengarah Urusan syarikat perlombongan di Johor dan Perak.

Menurut portal itu, dana tersebut bukan sahaja digunakan untuk melobi kelulusan lesen mineral di Sabah, malah bagi membiayai kempen membina imej Albert sebagai pejuang integriti dalam isu sumber asli walaupun beliau kini berdepan pertuduhan rasuah.

Albert turut didakwa mengendalikan rangkaian lebih 13 syarikat proksi, berdaftar atas nama individu tempatan, bagi memohon lesen perlombongan kepada kerajaan negeri.

Namun, beberapa permohonan ditolak kerana didapati tidak mematuhi prosedur dan piawaian ketelusan.

Bukan itu sahaja Albert didakwa menggunakan kamera tersembunyi berbentuk pen untuk merakam perbualan dengan ahli politik, dipercayai bertujuan dijadikan ugutan jika permohonannya tidak diluluskan.

Turut dikatakan kewujudan beberapa video berkaitan dakwaan rasuah itu telah tersebar ke media dan platform sosial, tetapi tidak diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan siasatan sudah dimulakan terhadap taikun Singapura yang dikaitkan dengan pembiayaan ini.

“SPRM telah memulakan siasatan untuk mengesahkan maklumat tersebut dan akan memanggil saksi berkaitan dalam masa terdekat,” katanya.

SPRM sebelum ini turut menegaskan, mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah tidak layak menerima perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Pada 30 Jun lalu, Albert didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas dua pertuduhan memberi suapan berjumlah RM350,000 kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) bagi tujuan meluluskan lesen mineral.

Kedua-dua ADUN itu juga turut didakwa atas kesalahan menerima suapan.

Dalam satu kenyataan di luar mahkamah, Albert mendakwa jika dirinya diculik atau dibunuh, Ketua Menteri Sabah dan beberapa individu lain perlu dipertanggungjawabkan.

Susulan dakwaan itu, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah telah membuat laporan polis terhadap Albert kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, hasutan dan menghina mahkamah.

Kes ini dijadualkan bersambung pada 5 Ogos ini.

Setakat ini, Albert belum memberikan sebarang komen mengenai dakwaan beliau menerima dana daripada taikun Singapura.

BBerkaitan

Latest articles