“Belum Sampai Masa Lagi” – PM Jawab Spekulasi Tiga Menteri Gugur

DURIAN TUNGGAL: Fokus kerajaan pada masa kini adalah usaha membantu rakyat yang terjejas dengan banjir dan menangani penularan varian Omicron, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian terhadap spekulasi mengenai tiga menteri bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet, seperti yang dilaporkan media semalam.

“Nama-nama itu (tiga menteri bakal digugurkan) biasalah dulu pun macam itu juga. Saya dah beritahu tadi fokus saya adalah berkenaan (mengatasi) banjir, saya tak nak cakap pun soal ada atau tiada.

“Setakat ini selagi saya tak umumkan tak adalah. Belum sampai masanya lagi dan ketika ini kita fokus pada (mangsa) banjir,” katannya ketika mengadakan lawatan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gangsa,  hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Semalam, media melaporkan dua menyeri daripada  BERSATU iaitu Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun akan digugurkan daripada jawatan masing-masing.

Manakala menteri UMNO yang turut dikatakan bakal digugurkan adalah Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Abd Latiff dispekukasikan bakal dipecat selepas gagal memainkan peranan mengkoordinasi penyelamatan dan bantuan semasa bencana banjir buruk melanda Selangor dan Pahang baru-baru ini sehingga mengakibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawahnya teruk dikritik rakyat.

Rina pula mencetus rasa kurang senang rakyat selepas gambarnya membersihkan kawasan banjir dikritik, termasuk memakai kasut tumit tinggi ketika hadir melakukan lawatan ke PPS.

Sementara itu Halimah dikaitkan dengan agihan peruntukan RM100 juta Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Ismail Sabri dalam masa yang sama menjelaskan bahawa mesyuarat jemaah Kabinet akan diadakan esok, namun memberi tumpuan kepada  isu banjir dan COVID-19.

“Pertama berkenaan banjir, kedua COVID-19 yang agak membimbangkan walaupun kes (harian) kita masih lagi bawah 3,000 tapi nampak gayanya COVID-19 ini akan jadi sebahagian kehidupan kita.

“Banjir pula banyak lagi pasca banjir yang tak selesai dari segi kerosakan infrastruktur, rumah, barangan walaupun saya dah umumkan bermacam-macam bantuan dan insentif kerajaan tapi tak cukup dengan pengumuman sahaja.

“Yang pentingnya pelaksanaan dan saya berpuas hati dengan bantuan wang ihsan yang dah lebih 70 peratus diterima mangsa banjir setakat ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles