Belum Ada Kes Positif COVID-19 Dalam Kalangan Pelancong Ke Langkawi

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad memaklumkan sehingga kini belum ada lagi kes jangkitan COVID-19 membabitkan pelancong domestik di Langkawi selepas lima hari pulau itu dibuka menerusi projek rintis gelembung pelancongan.

Malan kes-kes penularan COVID-19 di pulau itu hanya membabitkan penduduk tempatan sahaja.

“Keadaan ini membuktikan kejayaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah projek rintis berkenaan. Tiada kes jangkitan dikesan membabitkan kedatangan pelancong domestik.

“Ini kerana kerajaan sudah menggariskan SOP yang baik di bawah projek gelembung pelancongan. Saringan ujian COVID-19 dibuat di lokasi pelepasan sebelum ke Langkawi turut membantu menghalang individu yang positif daripada memasuki Langkawi,” katanya sebagai jawapan kepada soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Dalam masa yang sama, Mohd Firdaus berkata kerajaan negeri menjangkakan kehadiran seramai 200,000 pelancong ke Langkawi sehingga tempoh penghujung tahun ini.

Katanya, Kementerian Pelancongan juga sudah mengumumkan bahawa sektor pelancongan lain akan mula dibuka pada 1 Oktober ini setelah melihat perkembangan yang positif di Langkawi.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus, berkata pembukaan Jeti Kuala Kedah yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi esok, diyakini mampu memberi kesan positif kepada penduduk di pulau itu terutamanya peniaga.

“Ketika jeti ini ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, kesannya memang terasa kerana pelancong terpaksa ‘dilencongkan’ ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi.

“Insya Allah apabila jeti itu kembali dibuka esok, kita akan melihat rakyat di Kuala Kedah dapat turut menikmati kesan pembukaan Langkawi,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,912FollowersFollow
21,600SubscribersSubscribe

Terkini