KUALA LUMPUR: Lapan individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Bella mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan jenayah, termasuk mengugut untuk membunuh, memeras ugutan serta mengurung seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, minggu lalu.
Tertuduh terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita: Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 19; Ahmad Rushdi Jumadi, 20; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 25; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 19; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 25; Syamsul Haniziew Saiful Razali, 20; dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22.
Ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab dan kesemua tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menakutkan secara jenayah mangsa, Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, dengan ugutan hendak membunuh.
Pertuduhan kedua pula menyatakan bahawa mereka melakukan pemerasan terhadap mangsa dengan mendesak bayaran wang RM3,000 sambil memukulnya, memaksa mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal kepada salah seorang tertuduh.
Pertuduhan ketiga melibatkan kesemua tertuduh mengurung mangsa, manakala tujuh tertuduh lelaki turut mengaku bersalah atas pertuduhan keempat iaitu menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 10 malam hingga 4 pagi pada 18 hingga 19 April lalu. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 506, 384, 342 dan 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah jaminan RM40,000 untuk setiap lelaki dan RM30,000 untuk tertuduh wanita.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahin Mohd Yazid merayu jaminan lebih rendah atas faktor pendapatan rendah serta latar belakang tertuduh, termasuk Bella yang tidak bekerja dan menghidap penyakit lelah.
Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh lelaki, manakala Bella dikenakan jaminan RM14,000.
Kes akan disebut semula pada 3 Jun depan untuk bacaan fakta dan keputusan hukuman.
Sebelum ini, kes ini tular di media sosial selepas beberapa video menunjukkan seorang pemuda dipukul beramai-ramai dalam sebuah rumah di Pasir Gudang tersebar, menyebabkan perhatian meluas daripada orang awam.
Semua suspek ditahan awal minggu ini ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.