Belasah Isteri Kerana Tolak Ajakan Seks, Lelaki Kena Penjara 6 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pemotong rumput dikenakan hukuman penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya, termasuk bertindak mencekik mangsa akibat berang ajakannya untuk melakukan hubungan seks ditolak.

Prosiding berlangsung di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 32 tahun selepas menerima pengakuan salahnya sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dalam satu perkahwinan yang sah telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 32 tahun untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada dalam sebuah bilik kelamin sebuah rumah bernombor di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 2 pagi 10 Januari 2025.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminta untuk melakukan hubungan seks dengan isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Bagaimanapun wanita itu menolak dan memberi alasan kepenatan menjaga anak lelaki mereka berusia setahun.

Pengadu juga tidak tahan dengan permintaan tertuduh yang mahu melakukan hubungan seks setiap hari.

Tertuduh yang berang dengan tindakan isterinya itu kemudian menampar dan menumbuk mangsa beberapa kali serta mencekik lehernya sehingga wanita itu tidak boleh bernafas.

Selepas berjaya melepaskan diri, pengadu berlari keluar dari bilik memanggil bapa mentuanya yang tinggal serumah dengan pasangan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman penjara yang rendah kerana dia dan isteri sudah tidak lagi tinggal serumah selain telah insaf atas perbuatannya itu.

Majistret Khairunnisak kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh ditangkap 10 Januari lalu.

BBerkaitan

Latest articles