Beku Akaun Aman Palestin ‘Dera’ Rakyat Di Gaza, Dakwa Tun M

KUALA LUMPUR: Memasuki musim sejuk tidak lama lagi, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun bank milik Aman Palestin didakwa seperti menganiaya dan mendera rakyat di Gaza.

Bahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, tindakam SPRM itu menyebabkan sumbangan kewangan berjumlah RM10 juta tidak dapat disalurkan.

“Pihak Aman Palestin telah menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon mengurangkan kesengsaraan mereka.

“Malangnya, Aman Palestin disiasat SPRM dan akaun-akaun mereka dibekukan. Dengan itu, bantuan RM10 juta yang disediakan tidak dapat disalurkan.

“Jika tidak, SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang memang sedang menderita akibat deraan Israel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu Dr Mahathir menggesa SPRM menarik balik langkah pembekuan itu, di sebalik meneruskan siasatan ke atas Aman Palestin agar penyaluran dana itu tidak tersekat.

“SPRM boleh terus buat siasatan tetapi wang sebanyak RM10 juta dari akaun-akaun Aman Palestin perlu dibenar disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab yang menderita menghadapi musim sejuk.

“Jika SPRM sangsi sama ada wang tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin atau tidak, mereka boleh hantar pegawai mereka mengiringi wakil Aman Palestin yang diamanah menyalur wang tersebut kepada rakyat Palestin,” katanya.

Untuk rekod SPRM membekukan 41 akaun Aman Palestin Bhd (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762 pada 22 November lalu.

Hasil siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan lain.

BBerkaitan

Latest articles