KUALA LUMPUR: Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan polis awal pagi ini susulan satu soalan yang mencetuskan kontroversi ketika menghadiri sebuah forum awam, Isnin lalu.
Tan, 31, ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Penahanannya disahkan peguam beliau, Rajsurian Pillai, yang memaklumkan bahawa Tan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dengan siasatan dikendalikan oleh Bukit Aman, lapor Malaysiakini.
Insiden itu berpunca daripada satu soalan yang dikemukakan Tan dalam forum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”, yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.
Soalan berkenaan menerima kecaman meluas di media sosial kerana dianggap menyentuh isu sensitif.
Susulan kritikan tersebut, Tan tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui soalannya tidak disusun dengan baik serta gagal mengambil kira kesesuaian dengan konteks forum berkenaan.
“Saya paling kesal kerana menyentuh isu hubungan antara kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau turut mengakui gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripada seorang wartawan, selain merayu agar orang ramai tidak menyerang FMT Media serta ahli keluarganya.
Dalam kenyataannya, Tan menegaskan beliau tidak pernah berniat menyamakan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.
“Saya tidak menggunakan istilah ‘aparteid’ dan tidak pernah berniat membuat perbandingan sedemikian. Perbandingan itu tidak masuk akal dan tidak mencerminkan niat saya,” katanya.
Mengulas penahanan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran, menyifatkan tindakan menahan Tan sebagai keterlaluan.
“Beliau sudah bersedia bekerjasama dengan siasatan. Penahanan tidak perlu dan bersifat menghukum,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Media Malaysia turut mengecam perbuatan doxing, gangguan dan ugutan terhadap wartawan susulan kecaman terhadap Tan.
FMT juga mengeluarkan permohonan maaf rasmi, menyatakan pihaknya tidak mengetahui hasrat Tan untuk mengemukakan soalan tersebut dan tidak menyokong kenyataan berkenaan.










