KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar, hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.
Muhammad Hafizuddeain tiba sekitar jam 8.10 pagi, manakala Salwani yang berkerusi roda dilihat dibawa ke Mahkamah Sesyen berasingan untuk menghadapi pertuduhan masing-masing.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan pihaknya telah memperoleh kebenaran Peguam Negara untuk mendakwa pasangan tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Selain pertuduhan hari ini, Muhammad Hafizuddeain turut dijadualkan berdepan dua lagi pertuduhan di bawah akta sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar pula akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di ibu negara esok atas beberapa pertuduhan berkaitan salah guna kuasa.
Mohd Nizam akan berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 melibatkan siasatan berhubung Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), selain satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Salwani dijadualkan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.
Muhammad Hafizuddeain dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 6 September 2023 sebelum mengemukakan persaraan awal daripada perkhidmatan tentera berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Sebelum ini, media melaporkan bekas PTD berkenaan bersama dua isterinya pernah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).










