PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah melibatkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) pada hari ini menyaksikan bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya direman bermula hari ini.
Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan bekas PTD itu direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dikemukakan SPRM pagi tadi.
Ketiga-tiga individu berkenaan tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya sekitar jam 10 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan bergari, menaiki dua kenderaan agensi antirasuah itu.
Peguam yang mewakili bekas PTD, Nizamuddin Hamid memaklumkan anak guamnya masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan dan kini dalam proses pemulihan.
Sehubungan itu, pihak pembelaan telah memohon agar bekas pegawai kanan tentera itu diberikan akses kepada peguam sepanjang siasatan dijalankan serta menjalani pemeriksaan kesihatan berkala berikutan masalah darah tinggi yang dihidapinya.
Terdahulu, SPRM mengesahkan bekas PTD dan dua isterinya ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 3 petang semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat turut direman tujuh hari semalam, menjadikan keseluruhan lima individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes rasuah berprofil tinggi tersebut.
Media sebelum ini melaporkan SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan projek perolehan Tentera Darat, hasil siasatan terhadap beberapa tender yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.
SPRM turut menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan TDM serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Siasatan terhadap projek perolehan TDM itu bermula apabila SPRM menjalankan pemeriksaan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 23 Disember lalu, melibatkan tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat, sebelum beberapa individu dipanggil untuk dirakam keterangan sehari kemudian.










