KOTA BHARU: Seorang bekas penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang lelaki Malaysia di Sungai Golok, Thailand, malam kelmarin.
Difahamkan, suspek berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah beraksi untuk skuad Piala Presiden Kelantan pada 2014 sebelum kembali menyertai pasukan senior Kelantan FC pada 2019.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penahanan suspek oleh polis Thailand, namun setakat ini masih belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu.
“Saya difahamkan suspek telah menyerah diri kepada polis Thailand malam tadi, tetapi kami belum mendapat sebarang pengesahan rasmi,” katanya kepada New Straits Times hari ini.
Menurut beliau, polis Kelantan tidak terlibat secara langsung dalam siasatan kerana suspek merupakan warganegara Thailand dan kes itu berlaku di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negara berkenaan.
Laporan mengenai penangkapan suspek mula tular di media sosial sejak malam tadi, namun belum ada kenyataan rasmi daripada pihak keselamatan Thailand.
Selain Kelantan FC, pemain terbabit turut pernah menyarung jersi Yala United FC dan PT Prachuap FC dalam Liga Thailand sebelum ini.
Mohd Yusoff menegaskan, siasatan penuh akan dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand bagi menentukan punca serta motif pembunuhan tersebut.










