KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan bersama isterinya, Salwani Anuar, bakal berdepan pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah esok, susulan siasatan berkaitan pengubahan wang haram.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, pihaknya telah memperoleh kebenaran Peguam Negara untuk mendakwa pasangan itu dengan empat pertuduhan setiap seorang mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Selain itu, Hafizuddiean akan menghadapi dua lagi pertuduhan di bawah akta sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam pada Jumaat, 23 Januari 2026.
Salwani pula dijadualkan didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin, 26 Januari 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut mengesahkan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Januari 2026.
Mohd Nizam bakal berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan siasatan salah guna kuasa dan isu melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), selain satu pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
SPRM turut memaklumkan, siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Suruhanjaya itu menegaskan pendirian tegas untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa kompromi, selaras dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.










