Bekas PAT Didakwa Pagi Ini, Hafizuddeain Sambung Dua Lagi Pertuduhan Di Mahkamah Shah Alam

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa kes berprofil tinggi membabitkan institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasuki fasa pendakwaan apabila seorang lagi bekas pegawai tertinggi dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pagi ini.

Individu berkenaan ialah bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, 60, yang dijadualkan menghadapi pertuduhan sekitar jam 9 pagi.

Beliau tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada kira-kira jam 8.25 pagi dan kelihatan menggunakan tongkat.

Menurut sumber SPRM, pertuduhan dikemukakan selepas suruhanjaya itu memperoleh keizinan Peguam Negara susulan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pecah amanah ketika Mohd Nizam masih berkhidmat dalam ATM.

Difahamkan, beliau bakal berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan penggunaan jawatan bagi kepentingan tertentu.

Selain itu, Mohd Nizam turut dijangka didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta satu pertuduhan menerima benda berharga tanpa balasan sebagai penjawat awam mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan berkenaan merupakan sebahagian daripada siasatan menyeluruh SPRM melibatkan pengurusan kewangan dan perolehan dalam ATM, termasuk kes yang dikaitkan dengan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

Semalam, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin, telah dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Hafizuddeain dijadualkan menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, manakala Salwani pula akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

SPRM turut mengesahkan bahawa dua lagi pegawai kanan ATM masih dalam siasatan dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Kes ini juga mempunyai kaitan dengan siasatan terdahulu melibatkan penahanan seorang bekas pegawai Tentera Darat bersama dua isterinya pada 7 Januari lalu berhubung projek perolehan tender Tentera Darat.

BBerkaitan

Latest articles