Bekas Panglima Tentera Darat Dipanggil SPRM, Bantu Siasatan Tender Perolehan TDM

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dalam tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Beliau yang tiba kira-kira jam 3.10 petang dengan menaiki sebuah kenderaan jenis BMW berwarna biru, dilihat memakai pakaian bewarna biru sebelum memasuki bangunan SPRM bersama beberapa individu lain.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan pegawai kanan TDM itu diarahkan bercuti serta-merta bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan melibatkan beliau.

Jawatan Panglima Tentera Darat yang disandang Muhammad Hafizuddeain kemudiannya digantikan oleh Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Walaupun Kementerian Pertahanan tidak memperincikan kes yang disiasat, perkembangan itu dipercayai berkait rapat dengan siasatan SPRM terhadap beberapa projek perolehan tentera.

Pada 23 Disember lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, melibatkan projek yang diperoleh melalui tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Sebelum itu, SPRM turut mengambil keterangan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang mendakwa wujud aliran tunai mencurigakan dalam akaun bank seorang pegawai tentera dan ahli keluarganya.

Menurut dakwaan tersebut, audit forensik terhadap dokumen tanpa nama menunjukkan kemasukan wang bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000, selain pemindahan dana dalam jumlah lebih besar mencecah ratusan ribu ringgit, yang disyaki datang daripada syarikat-syarikat memperoleh projek ketenteraan.

BBerkaitan

Latest articles