Bekas KP SPRM Sertai UMNO, Sedia Perkukuh Perjuangan Di Tasek Gelugor

BUTTERWORTH – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengesahkan penyertaan rasminya ke dalam UMNO selepas lebih tiga tahun berkhidmat secara langsung dengan masyarakat di Parlimen Tasek Gelugor.

Penyertaan beliau dimeterai malam tadi dalam satu majlis ringkas di Sungai Dua, apabila Dzulkifli menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Cawangan Merbau Kudong, Mohd. Ramli Daud.

Menurut Dzulkifli, penyertaan ke dalam arena politik bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil penilaian panjang selepas bergiat aktif membantu rakyat menerusi inisiatif peribadi dan Pejabat Tan Sri Dzulkifli (TSDZ).

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya aktif dalam parti dan menyerahkan borang keahlian saya sebagai ahli UMNO,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, walaupun kini menyertai UMNO sebagai ahli biasa tanpa apa-apa perjanjian atau komitmen rasmi, fokus utamanya kekal untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata UMNO merupakan pilihan semula jadi kerana sejarahnya sebagai parti dominan Melayu yang menurutnya perlu dikembalikan peranannya sebagai “payung bangsa”.

“Saya mahu bawa nafas baharu kepada UMNO, yang saya percaya masih relevan dalam memperjuangkan kepentingan Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju politiknya, Dzulkifli enggan mengulas lanjut sama ada beliau akan menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, nama Dzulkifli pernah disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi mewakili UMNO di Parlimen Tasek Gelugor ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun pencalonan itu tidak direalisasikan.

BBerkaitan

Latest articles