Bekas KP Persoal Prosedur Siasatan SPRM Terhadap Pamela Ling

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyuarakan kebimbangan terhadap tatacara siasatan yang dijalankan ke atas Datin Seri Pamela Ling Yueh, yang menurutnya mungkin bercanggah dengan undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Dzulkifli berkata tindakan SPRM menahan dan mereman Pamela sebelum memanggilnya semula untuk dirakam keterangan sebanyak sembilan kali selepas dibebaskan menimbulkan persoalan besar dari segi kesahihan prosedur.

“Selepas seseorang ditahan, direman dan keterangannya dirakam, undang-undang tidak membenarkan rakaman lanjut dalam kapasiti sama melainkan individu itu diklasifikasikan semula sebagai saksi dan mendapat kelulusan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kuasa penahanan hanya wajar digunakan apabila wujud bukti mencukupi untuk mendakwa, bukannya ketika siasatan masih berjalan.

Tindakan terburu-buru, katanya, boleh mencabuli prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Mengulas lanjut, Dzulkifli membandingkan kes Pamela dengan siasatan lain seperti melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri dan Vivy Yusof, di mana kedua-duanya tidak ditahan semasa siasatan walaupun berstatus suspek, sebaliknya hanya didakwa selepas bukti lengkap diperoleh.

Sehubungan itu beliau menggesa SPRM dan agensi penguat kuasa lain agar kekal mematuhi prosedur undang-undang dan menjunjung hak asasi setiap individu sepanjang proses siasatan.

BBerkaitan

Latest articles