Bekas KP Perisikan Pertahanan Antara Individu Berprofil Tinggi Didakwa Kes Rasuah Hari Ini

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan pertahanan negara, Datuk Mohd Razali Alias, yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, tersenarai antara beberapa individu berprofil tinggi yang akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pelbagai pertuduhan berkaitan rasuah, bermula hari ini.

Berdasarkan semakan di laman sesawang mahkamah, Mohd Razali dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen 14 di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, selain Mohd Razali, seorang pegawai Imigresen turut akan didakwa di Kuala Lumpur berhubung kesalahan yang disiasat menerusi Op Pump.

Menurut kenyataan sama, SPRM turut memperoleh keizinan untuk mendakwa seorang ahli perniagaan berkaitan Op Nature di Mahkamah Sesyen 1, Shah Alam.

Sementara itu, seorang bekas pensyarah akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, manakala seorang pelabur warga China pula dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, masing-masing berkaitan kes Op Nature.

SPRM turut memaklumkan bahawa pihaknya mendapat kebenaran untuk mendakwa seorang pegawai kanan tentera di Mahkamah di Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Terdahulu, Op Nature dilancarkan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan pada 20 Januari lalu, melibatkan serbuan di dua lokasi iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan berkaitan, menerusi Op Pump, SPRM menahan seramai 37 pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan warga asing melalui pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi Counter Setting atau laluan kaunter khas.

Pada 22 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk turut dijangka didakwa atas pertuduhan rasuah dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan keputusan lanjut berkaitan pertuduhan akan diperoleh tidak lama lagi.

BBerkaitan

Latest articles