Bekas KP Perisikan ATM Mengaku Tidak Bersalah Tiga Pertuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd. Razali Alias, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan berkaitan penerimaan rasuah dan suapan melibatkan wang tunai serta tiket penerbangan bernilai lebih RM140,000.

Mohd. Razali, 60, didakwa menerima rasuah berjumlah AS$20,000 antara Ogos hingga November 2024 sebagai dorongan untuk meluluskan pengesahan pembayaran perolehan perkhidmatan berkaitan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ketika beliau memegang jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.

Selain itu, beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima suapan bagi pihak isterinya melibatkan pembayaran tiket penerbangan ke Sepanyol dan Estonia berjumlah RM64,600, yang didakwa diterima daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasportnya diserahkan sebagai syarat jaminan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mac ini bagi serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles