Bekas Isteri, Anak-anak Diancam, Termasuk Ugut Bunuh – Keputusan Terbaik Harith Batalkan Persembahan

KUALA LUMPUR: Dr Jezamine Lim mendedahkan dirinya dan anak-anak menerima ugutan daripada pihak tertentu, menyebabkan persembahan Program komedi berdiri oleh Harith Iskandar di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang dijadual malam ini terpaksa dibatalkan.

Malah bekas isteri Harith itu juga mendakwa turut menerima ugutan bunuh.

Jezamine berkata keputusan tersebut adalah terbaik demi keselamatan walaupun beliau dan Harith amat kecewa memandangkan dua anak mereka, Zander dan Zydane turut menjadi sebahagian persembahan tersebut.

Menurutnya, laporan polis berhubung ugutan itu telah dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Disebabkan ancaman dan serangan dalam talian tanpa henti daripada individu tertentu, kami dan DFP bersetuju untuk tidak meneruskan persembahan yang dirancangkan demi keselamatan.

“Tidak mudah membuat keputusan ini kerana Harith telah melakukan persiapan dan kerja keras selama berbulan-bulan untuk persembahan ini. Untuk membatalkan persembahan ini adalah sungguh mendukacitakan bagi Harith, selain anak-anak kerana Zander dan Zydane sepatutnya menjadi sebahagian daripada aksi persembahan,” katanya menerusi Instagram.

Menerusi hantaran yang sama, Jezamine turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah individu yang terlalu beremosi sehingga berada pada tahap yang melampau.

“Ya, anda mempunyai hak untuk tidak bersetuju atau tersinggung dengan kata-kata seseorang – emosi adalah semula jadi – tetapi sehingga sanggup menghantar ancaman kepada keluarga seseorang? Untuk menyasarkan kanak-kanak? Bagaimana anda boleh jadi begitu? Adakah ini benar-benar apa yang anda percaya melindungi agama atau kepercayaan anda?,” soalnya.

Semalam, menerusi kenyataan, DFP memohon maaf kerana membatalkan DFP Punchline: Harith Iskandar Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan berlaku. Terima kasih atas pemahaman anda dan sokongan berterusan,” jelas kenyataan itu.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon itu berhubung kontroversi bisu ‘ham’ yang didakwa menghina Islam.

Harith, mencetuskan kontroversi sensitivity agama selepas membuat jenaka menggunakan topik ‘ham’ yang mengundang kecaman netizen terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Bersama hantaran itu, Harith turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ‘ham sap’ kopi berharga RM5.50.

Gambar itu dipercayai diambil dari gambar senarai menu kopi yang dijual premis rangkaian jualan minuman kopi tempatan yang berniaga menggunakan trak makanan.

“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara”.

“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?

“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran itu.

BBerkaitan

Latest articles